Tuesday, December 15, 2009

DI KEMUNCAK RINDU 4.......

Aku telah dibawa oleh seorang pemuda berpakaian serba putih memasuki sebuah masjid yang amat indah lagi menakjubkan. Aku dapat melihat dengan jelas ratusan ribu manusia tidak jemu-jemu bersujud kepada ALLAH sambil membesarkanNYA. Keadaan didalam masjid itu amat dingin dan serta keluasannya sejauh mata memandang. Wajah pemuda yang membawa aku mengunjungi masjid tersebut amatlah berseri-seri. Bagiku sesiapa yang memandang akan wajahnya, akan hilanglah segala gundah gulana, kekusutan yang sedang melanda hati serta-merta akan digantikan dengan ketenangan yang amat sukar untuk digambarkan.

Di celah-celah ribuan manusia, aku menemui suatu ruang yang agak selesa untuk berdiri menunaikan solat sunat dua rakaat. Sebaik sahaja memberi salam pada rakaat yang terakhir, aku dihulurkan dengan segelas air oleh lelaki berkenaan. Beliau juga telah mengajarku bagaimana caranya untuk meminum serta menghabiskan air didalam gelas berkenaan mengikut sunnah RasulALLAH. Aku belum pernah merasai nikmat kelazatan yang amat luarbiasa ini ketika menikmati minuman tersebut, memang benar........... tiada tolok bandingnya didunia ini.

Setelah menghabiskan minuman yang diberi, suatu lagi keajaiban telah berlaku dimana dengan tiba-tiba keseluruhan tubuhku tidak henti-henti mengeluarkan peluh terutama pada bahagian atas dahi hingga ke pangkal kepala. Aku cuba  mengesat keseluruhan peluh yang mula membasahi tubuhku tetapi dihalang oleh lelaki berkenaan untuk berbuat demikian. Aku hanya menurut sahaja kemahuan beliau tanpa bertanya apa-apa soalan. Pada ketika itu, aku mendapati masih ada lagi dua gelas air di sebelah sisi kanan tempat duduk di dalam masjid tersebut dimana lelaki tadi mempersilakan aku untuk meminumnya dengan cara yang telah diajarnya sebelum ini tetapi ia hendaklah dilakukan dangan cara yang lebih tertib dan perlahan-lahan. Aku mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk menghabiskan baki dua gelas air yang tersedia mengikut syariat yang telah ditinggalkan oleh baginda RasulALLAH.

Setelah menikmati minuman pada gelas yang terakhir, tubuhku kembali menjadi segar, kesegaran yang belum pernah aku rasai semasa hayatku. Rasa ingin tahu yang amat sangat akan minuman yang telah diberikan kepadaku melonjak-lonjak, dan seperti memahami hasrat yang terkandung didalam hatiku, lelaki tadi telah memberitahuku bahawa itulah AIR ZAM ZAM, air yang terbaik diatas mukabumi, penghulu segala air serta dapat menjadi penawar kepada segala jenis penyakit dengan izin ALLAH SWT.

Aku segera bangun untuk menadah tangan kepada ALLAH sambil sujud bersyukur akan kehebatan serta kebesarannya, sesungguhnya ALLAH itu maha agung dengan rahmatNYA. Setelah mengerjakan sujud syukur sekian lamanya, lelaki berkenaan telah mengeluarkan sesuatu dari kantung jubah beliau untuk diberikan padaku. Ianya berupa wangi-wangian yang sangat harum dan menyuruh aku untuk mengenakan wangian tersebut. Beliau memberitahu aku akan dibawa melawat / menziarahi ke suatu tempat yang menjadi idaman setiap insan yang beriman kepda ALLAH dan RasulNYA.

Aku segera mengekori lelaki tadi dimana kami telah berjalan hampir 15 minit di celah-celah ratusan ribu manusia untuk sampai ke destinasi yang telah dinyatakan. Setelah sampai, kami terus menunaikan solat sunat 2 rakaat. Aku dapat melihat betapa indahnya kawasan disekelilingku berserta dengan cahaya yang sukar untuk digambarkan. Aku diberitahu kami sebenarnya telah berada di salah satu Taman- Taman Syurga ALLAH. Disinilah terletaknya kediaman RasulALLAH, tempat (ruangan) baginda mengimamkan sembahyang berjemaah serta bersujud kepada ALLAH SWT. Selain dari itu aku juga dapat melihat dengan jelas Maqam junjungan besar Nabi Muhammad saw disebelah kiri tempat dudukku menghala kejalan keluar dari masjid berkenaan serta tempat Jibril menurunkan wahyu ALLAH untuk di sampaikan kepada RasulALLAH.

Aku menangis dengan sesungguh hati apabila diberitahu hal yang sedemikaian. Aku dapat mersakan manusia yang sangat hina seperti aku ini masih diberi peluang untuk berada di tempat yang amat mulia disisi ALLAH. Aku juga dapat merasakan yang aku langsung tidak layak untuk berada ditempat ini tetapi itulah ketentuan yang telah ditakdirkan oleh ALLAH keatas diriku. Semasa berada dihadapan maqam junjungan besar Nabi Muhammad SAW, aku terus mengucap / memberi salam kepada beliau. Aku masih lagi ingat akan sabda RasulALLAH ............ "Barangsiapa yang menziarahiku ketika wafatku, mereka sabenarnya seolah-olah telah menziarahiku ketika aku masih hidup"...

Pada ketika ini, air mataku jatuh bagaikan air hujan, dan pada ketika itu juga aku amat bersyukur kepada ALLAH dimana aku dapat merasakan akulah manusia yang paling hina diatas muka bumi ini telah diizinkan ole ALLAH untuk berdiri dihadapan kekasihNYA ... manusia paling mulia diatas mukabumi ini. Aku tidak berganjak dari tempat aku berdiri walaupun dirempuh serta dikelilingi ribuan manusia. Air mata masih mengalir tanpa henti. Aku juga dapat melihat dengan jelas maqam beberapa sahabat nabi bersebelahan dengan beliau. Ruangan bersebelahan yang amat sederhana besarnya merupakan kediaman RasulALLAH berserta keluarga baginda mampu menginsafkan sesiapa saja yang melihatnya. Jika ada diantara kita yang masih tidak bersyukur dengan rumah kediaman serta tempat tinggal yang telah dianugerahkan oleh ALLAH, maka disinilah pemandangan yang paling abadi yang telah ditentukan oleh ALLAH untuk tatapan semua makhlukNYA.

Dengan linangan airmata yang masih bercucuran, aku terasa tanganku ditarik oleh pemuda tadi sambil membisikkan ada satu lagi tempat yang hendak dituju. Aku meninggalkan kawasan maqam dengan hati yang penuh sayu untuk menuju ke satu lagi destinasi yang aku sendiri tidak tahu. Jika diizinkan ALLAH aku sanggup untuk menjadi "penunggu" mengabadikan seluruh hidupku untuk menjaga maqam tersebut. Ketenangan luarbiasa yang diperolehi ketika berada dihadapan maqam Nabi merupakan ketenangan yang abadi idaman semua manusia.

Pada malam itu juga aku dibawa oleh lelaki berkenaan di suatu lagi tempat yang telah dijanjikan olehnya. Aku hanya mendiamkan diri sambil terkenang apa yang telah aku lalui sebentar tadi. Setelah sekian lama berjalan, aku dibawa masuk kedalam sebuah masjid yang jauh lebih besar dari tadi. Perlahan-lahan aku melangkah masuk ke perkarangan masjid tersebut sehinggalah aku ternampak sebuah objek hitam betul-betul dihadapan mataku. MasyaALLAH, itulah KAABAH .............. rumah ALLAH hasil binaan Nabi Ibrahim AS setelah diperintahkan oleh ALLAH untuk mendirikannya. Tanpa membuang masa, aku bersama-sama pemuda tadi terus mengerjakan Tawaf mengelilingi KAABAH. Kehebatan Rumah ALLAH yang disaluti kelambu hitam bersalutkan benang emas benar-benar mengagumi diriku. Aku masih mengingati bagaimana kedua-dua belah tanganku memegang pintu kaabah serta keharuman "Hajar Aswad" masih lagi terasa keindahannya. Kedua-dua belah tanganku telah diizinkan oleh ALLAH untuk menyentuh batu yang istimewa dari syurga (dinding Kaabah). Setelah selesaikan mengerjakan TAWAF, aku terdengar laungan azan yang sangat merdu, menandakan telah masuk waktu subuh............. bersambung

No comments:

Post a Comment