Tuesday, August 31, 2010
RAMADHAN ADALAH SUATU PERSIMPANGAN
“ Apabila masuknya Ramadhan maka berserulah para malaikat, “ Wahai pelaku-pelaku kebaikan, bergerak majulah dan wahai pelaku-pelaku kejahatan, berhentilah dan berundurlah.””
Sementara Ramadhan masih ada berbaki sedikit sangat lagi ini eloklah kita halusi intipati hadis Rasulullah seperti di atas. Kita sedia maklum bahawa Rasulullah tidak bersabda sia-sia melainkan dipandu oleh wahyu Allah dan para malaikat adalah makhluk Allah yang tidak pernah engkar akan suruhanNya.
Ramadhan sentiasa datang dan pergi setiap tahun tetapi bagaimanakah kita menyambut dan menyediakan diri secara mental dan fizikal setiap kali kedatangannya.
Maju dalam menghayati Ramadhan termasuk dalamnya tiga perkara:
1 Melakukan apa yang kita tidak lakukan sebelum ini ( sekadar beberapa contoh ):
Bukan satu perkara yang pelik kalau ada antara umat Islam tidak berpuasa atau hanya berpuasa tetapi tidak pernah solat apatah lagi solat terawih. Kalau itulah keadaan kita dahulu, marilah tahun ini kita mulakan berpuasa dan patuh kepada syarat-syaratnya. Di samping berpuasa marilah kita menunaikan solat waktu dan solat tarawih. Kalau malu untuk memulakan solat di kariah sendiri nanti orang tahu, moleklah kita pergi ke mesjid yang jauh sedikit dari rumah kita, Di sisi Allah dalam perkara-perkara begini tidak ada salahnya demi kebaikan.
Dalam menghayati Ramadhan terdahulu kita tidak pernah pun membaca Al Quran, maka kali ini marilah kita memulakan membaca Al Quran, kalau dulu hanya membaca tetapi kurang menitikberatkan atau mementingkan hukum-hakam tajwidnya (walaupun ianya adalah wajib), marilah kita mulakan perlahan-lahan berubah ke arah itu. Sesungguhnya kita tidak dimestikan khatam satu Al Quran kalau tidak mampu tetapi usaha ke arah itu mestilah sentiasa ada.
Di tahun yang lalu kita tidak pernah iktikaf awal dalam masjid, hanya masuk dan hadir di saat-saat akhir sebelum solat dan balik secepat mungkin sebaik sahaja memberi salam maka mulai sekarang marilah kita datang awal sedikit, lakukan solat sunat qabliah dan lewatkan sedikit waktu pulang dengan melakukan solat sunat bakdiah atau lain-lain, atau sekurang-kurangnya ambil sedikit masa untuk berdoa kerana sesungguhnya orang yang tidak berdoa kepadaNya adalah termasuk kumpulan orang yang sombong, lagipun masa yang diambil tidaklah lama.
Jika sebelum ini kita tidak pernah menginfakkan wang dan harta kita ke jalan kebaikan, maka pada tahun ini ikhlaskanlah diri untuk mula menyumbang walaupun sedikit. Kalau malu diketahui orang, di dalam masjid, di dalam akhbar, di merata-rata tempat ada ditampalkan rujukan nombor akaun tabungan yang memerlukan sumbangan, asalkan kita siasat dahulu kebenarannya, kemudian bolehlah kita mula menyumbang, sesungguhnya tangan kiri pun tidak perlu tahu apa yang diberikan oleh tangan kanan.
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah ada bersabda, ” Lakukan kebaikan, Allah tidak akan berhenti memberi pahala dan jangan melakukan dosa kerana Allah tidak pernah lupa dan sesungguhnya Allah tidak mati. Oleh itu buatlah apa yang kamu suka tetapi ingat, bagaimana kamu perbuat bagitulah kamu akan diperbuat, “ - Riwayat Baihaqi.
Jika kita tinggal dalam sebuah taman, mungkin sebelum ini kita tidak pernah ambil peduli siapa jiran kita, tetapi sebenarnya untuk menjaga ukhwah dan silaturrahim dan demi kebaikan eloklah kita mengetahui siapa jiran kita dan berbuat-baiklah dengan mereka selagi ianya tidak mendatangkan mudarat dan kesalahan dari segi syarak. Mungkin pada satu masa nanti kita memerlukan atau mereka memerlukan khidmat kita. Alangkah untungnya kalau kita boleh berbakti, sesungguhnya Allah tidak akan memberi rahmat kepada mereka yang tidak menghormati atau memuliakan jirannya.
2. Maju juga bermaksud menambah baik apa yang kita lakukan
Pada tahun yang lalu atau dua minggu yang lalu kita mengerjakan solat tarawih hanya lapan rakaat sahaja maka marilah mulai sekarang kita lengkapkan menjadi dua puluh rakaat serta cukupkan dengan solat witir tiga rakaat lagi. Kalau tak mampu secara berjemaah, buatlah sendirian di rumah. Ambillah peluang yang masih ada kerana belum pasti tahun hadapan kita masih hidup dan masih sihat untuk mengerjakannya. Sesungguhnya lagi banyak rakaat yang kita buat lagi banyak masa yang kita ambil untuk sujud dan Allah itu amat hampir kepada orang yang selalu sujud kepadaNya.
Disamping itu juga kita boleh menambahkan jumlah sumbangan kita ke jalan Allah seperti membantu sekolah-sekolah agama atau persekolahan dan keperluan anak-anak yatim. Untuk golongan kaya atau berada bolehlah membuat sumbangan tetap setiap bulan kepada institusi-institusi berkaitan.
Contoh seterusnya ialah kita mengambil peluang untuk lebih menggiatkan diri ke arah kebaikan terutama bidang keagamaan di dalam masyarakat setempat dan lain-lain lagi.
3. Istilah maju juga bermaksud mengekalkan apa yang kita lakukan dan ianya dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa.
Apa juga perkara kebaikan yang kita lakukan ia hendaklah dibuat secara berterusan dan tidak akan berhenti selepas sesuatu tempoh tertentu. Sebagai contohnya, adalah kurang bermakna kalau kita hanya pulun sembahyang sunat dalam bulan Ramadhan sedangkan selepas itu kita balik ke asal iaitu meninggalkannya langsung. Kita seharusnya meneruskan amalan yang baik ini sampai bila-bila.
Kita juga dianjurkan agama supaya jangan berhenti membuat sumbangan kebajikan kerana pendapatan kita lazimnya akan bertambah setiap tahun. Sediakanlah peruntukan walaupun tidak sebanyak yang kita sumbangkan dalam bulan Ramadhan.
- = -
Perkara kedua yang disebutkan dalam hadis berkaitan ialah seruan para malaikat supaya semua yang melakukan kesalahan-kesalahan atau perkara-perkara buruk supaya berhenti dan berundurlah.
Apabila datang Ramadhan, kita perlulah mengambil peluang ini untuk berhenti daripada melakukan perkara-perkara salah yang dilarang agama serta yang tidak sesuai dengannya.
Sebagai orang Islam sudah semestinya kita tidak akan melakukan dosa-dosa besar dan apa-apa yang boleh mendatangkan bala bencana atau merosakkan sistem masyarakat kita samaada secara langsung atau tidak langsung seperti mencuri, merompak, membunuh, menipu , berjudi, bergaduh, berkelahi, makan riba , berzina, menganiaya dan makan harta anak yatim, rasuah, melakukan penderaan, menghina orang lain, bekerja secara pilih kasih atau sebagainya. Sayugia diingatkan bila sudah berhenti dari melakukannya dalam bulan Ramadhan janganlah pula kita ulangi kesalahan yang sama selepas berakhirnya bulan yang mulia ini, nanti akan sia-sialah ibadat kita..
Disamping kesalahan-kesalahan di atas, mari kita renungkan sejenak beberapa perkara sampingan yang boleh juga dikategorikan termasuk dalam seruan para malaikat tersebut.
Kadangkalanya setengah perkara itu dianggap kecil dan remeh tetapi kesannya adalah cukup besar sebenarnya.
1. Tidak menghormati orang yang lebih tua atau menyisihkan ibubapa.
Semua orang Islam perlu menghormati orang yang lebih tua terutama ibubapa samaada mereka sihat dan cukup di segi keperluan hidup seperti wang dan sebagainya apatah lagi kalau mereka dalam keadaan sakit dan memerlukan bantuan. Dalam banyak keadaan, ibubapa tidak memerlukan wang ringgit dan harta anak-anaknya tetapi belaian dan keperihatinan dari anak-anak, itulah yang lebih utama.
Rasulullah ada bersabda bahawa “ Tidak akan dirahmati Allah sesiapa yang tidak mengambil berat terhadap kedua ibubapanya. “ Kewajipan menghormati ibubapa ini tidak sahaja meliputi ibubapa yang beragama Islam tetapi juga meliputi ibubapa yang masih kekal dalam agama asal mereka cuma ada batas-batasnya yang tertentu.
2. Ketidakadilan layanan dalam keluarga.
Dalam institusi berkeluarga, ada keluarga yang besar dan ada keluarga yang kecil. Dalam keluarga yang besar, kadang-kadang secara tidak sedar terdapat ketidakadilan berlaku, terdapat perbezaan kasih sayang dan layanan kepada anak-anak. Keadaan ini boleh menyebabkan timbul rasa cemburu dan kecil hati yang boleh merenggangkan hubungan antara satu sama lain.
Sebagai ketua keluarga samaada ibu atau bapa, kita perlu selalu muhasabah diri supaya perkara sebegini tidak berlaku atau tidak dibiarkan berpanjangan. Setiap keluarga seharusnya tinggal dalam suasana yang harmoni sepanjang masa.
3. Berbelanja secara membazir.
Ketika Ramadhan akan berakhir dan Syawal pula akan menjelang tidak lama lagi ramai daripada kita akan berbelanja, tetapi adakalanya kita terlupa atau terlalai bahawa sebahagian daripada perbelanjaan yang dilakukan adalah tidak perlu dan membazir.
Sebagai contohnya, kita menukar perabut, alat hiasan rumah atau kereta walhal yang lama masih baru dan elok semata-mata kerana kita terpedaya dengan tawaran atau pujukan jurujual sementelahan kita ada wang. Kadang-kadang kita juga melakukannya kerana ingin dilihat lebih dan ingin berlumba-lumba bersaing dengan jiran dan rakan sedangkan kita perlu sedar bersaing sebegini dilarang oleh agama. Sia-sialah ibadat puasa dan pengorbanan sepanjang Ramadhan yang kita lakukan jika ada riak dan sombong walaupun sedikit dalam hati kita. Oleh itu berbelanjalah atas perkara-perkara yang benar-benar perlu sahaja.
4. Melakukan perkara baik tetapi masanya tidak sesuai
Adalah dituntut berhariraya dengan pakaian yang cantik antaranya untuk megelakkan fitnah dan rasa rendah diri antara ahli keluarga dan sesama jiran tetangga. Walaupun begitu ada masanya kita membeli belah pada masa yang tidak sesuai. Kita tidak sepatutnya masih berada di pasar raya atau atas jalan raya sedangkan pada waktu yang sama umat Islam yang lain sedang mengimarahkan masjid dan surau dengan solat tarawih dan lain-lain yang dituntut oleh agama. Jika masih ada keperluan eloklah diselesaikan waktu sianghari sahaja.
Di samping perkara-perkara di atas, banyak lagi yang boleh dijadikan landasan untuk sama-sama bermuhasabah siapakah diri kita. Oleh itu marilah kita segera berusaha melakukan yang terbaik sementara kita masih lagi hidup dan mempunyai kekuatan, kelebihan dan keupayaan dari segi tenaga dan lain-lain, semoga kita akan mendapat keberkatan bukan sahaja di dunia lebih-lebih lagi untuk kehidupan kita di akhirat nanti .
Jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai sebuah simpang dalam menentukan arah dan halatuju kehidupan kita seterusnya.
Sedihnya, Ya Allah! mengapa cepat sangat Ramadhan nak meninggalkan kami.
Saturday, August 28, 2010
Malam Lailatul Qadar
Apakah itu malam Lailatul qadar ?
Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur’an) ketika Lailatul Qadar (malam kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Al-Qadr: 1-5)
Firmannya lagi:
“Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Qur’an) pada suatu malam yang diberkati.” (Ad-Dukhaan: 3).
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an.” (
Al-Baqarah: 185).
Ibnu Abbas ra meriwayatkan bahawa:
“Allah SWT menurunkan Al-Qur’anul Karim keseluruhannya secara sekaligus dari Lauh Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah (langit pertama) pada malam Lailatul Qadar. Kemudian diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW sesuai dengan konteks berbagai peristiwa selama 23 tahun.”
Malam itu dinamakan Lailatul Qadar karena keagungan nilainya dan keutamaannya di sisi Allah SWT. Juga, kerana pada ketika itu ditentukan ajal, rezeki, dan lainnya selama satu tahun, sebagaimana firman Nya:
“Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.”
(Ad-Dukhaan: 4).
Kemudian, Allah SWT berfirman mengagungkan kedudukan malam Lailatul Qadar yang Dia khususkan untuk menurunkan Al-Qur’anul Karim:
“Dan tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu?”
Selanjutnya Allah SWT menjelaskan nilai keutamaan malam Lailatul Qadar dengan firman-Nya:
“Lailatul Qadar itu lebih baik dari pada seribu bulan.”
Beribadah di malam itu dengan penuh rasa ketaatan, penuh rasa penghambaan, penuh rasa pengabdian, solat, tilawah, zikir, doa dan sebagainya menyamai dengan beribadah selama seribu bulan di waktu-waktu yang lainnya dimana seribu bulan adalah sama dengan 83 tahun 4 bulan.
Allah SWT juga menyatakan keutamaan-keutamaannya yang lain, juga keberkatan yang melimpah luah dengan banyaknya malaikat yang turun hadir di malam itu, termasuklah malaikat Jibril ‘alaihis salam. Mereka turun dengan membawa semua perkara, kebaikan mahupun keburukan yang merupakan ketentuan dan takdir Allah SWT. Mereka turun dengan perintah dari rabb mereka yakni Allah SWT. Selanjutnya,Allah SWT menambahkan lagi keutamaan malam tersebut dengan firman-Nya:
“Malam itu (penuh) kesejahteraan hingga terbit fajar”
(Al-Qadar: 5)
Maksudnya, malam itu adalah satu malam yang penuh dengan keselamatan dan kebaikan seluruhnya, tiada sedikit pun yang tidak baik di dalamnya sehinggalah terbit fajar. Di malam itu, para malaikat termasuk malaikat Jibril mengucapkan salam kepada orang-orang beriman.
Dalam satu hadis sahih, Rasulullah SAW ada menyatakan keutamaan melakukan qiyamul lail di malam tersebut. Sabda Baginda SAW:
“Barangsiapa melakukan solat malam pada saat Lailatul Qadar dengan penuh rasa keimanan dan mengharapkan hanya sanya pahala dari Allah SWT, niscaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
(Hadits Muttafaq ‘Alaih)
Tentang waktunya, Rasulullah SAW bersabda:
“Carilah Lailatul Qadar pada (bilangan) ganjil dari sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR. Al-Bukhari, Muslim dan lainnya).
Yang dimaksud dengan malam-malam ganjil yaitu malam dua puluh satu, dua puluh tiga, dua puluh lima, dua puluh tujuh, dan malam dua puluh sembilan.
Adapun qiyamul lail itu adalah di dalamnya kita menghidupkan malam tersebut dengan bersolat tarawih, bersolat tahajjud, membaca Al-Qur’anul Karim dengan penuh tadabbur, berzikir, berdoa, memohon keampunan dengan beristighfar dan bertaubat kita dengan rasa rendah diri dan penghambaan sepenuhnya hanya sanya kepada Allah SWT.
Wallahualllam....
** Diedit dan diringkaskan agar mudah difahami,semoga yang baik adalah dari Allah SWT jua,yang kurang adalah dari hamba sendiri..
Ikhlas dari Akhikumfiddeen,
Jamal Nasir
10 Surah Yang Elok Di Amalkan Setiap Hari
1. SURAH AL-FATIHAH
Amalkan membaca Surah Al-Fatihah semasa hendak tidur diikuti dengan membaca Surah Al-Ikhlas 3 kali, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Insya' Allah akan aman tenteram dan terjauh daripada gangguan syaitan. Dianjurkan juga membaca surah ini sebanyak 44 kali untuk mengubati sakit mata, perut, gigi dan lain-lainnya dengan izin Allah s.w.t. Untuk mencegah kemarahan Allah, bacalah surah ini sebanyak 17 kali sehari iaitu dengan mengerjakan solat 5 waktu.
2. SURAH YAASIN
Telah bersabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam,
"Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, dan hati Al-Qur'an ialah Surah Yaasin iaitu jantung Al-Qur'an. Sesiapa yang membaca Surah Yaasin, nescaya dituliskan oleh Allah pahala menyamai sepuluh kali membaca Al-Qur'an seluruhnya."
(Hadis riwayat At-Tarmizi dari Anas r.a.)
Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam juga bersabda:
"Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan "At-Mu'ammah" (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahupun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredhaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya."
(Hadis riwayat Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban).
Surah Yaasin ini juga jika diamalkan, akan terselamatlah kita dari kehausan di hari KIAMAT.
3. SURAH AD-DUKHAN
Dibaca sekali pada malam Jumaat agar kita terselamat dari huru hara di Padang Mahsyar.
4. SURAH AL-WAQI'AH
Menurut beberapa hadis Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam, mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi'ah pada setiap malam, insya' Allah tidak akan merasai kepapaan. Mereka yang membacanya sebagai wirid, insya' Allah akan beroleh kesenangan selama-lamanya. Mereka yang membacanya sebanyak 14 kali setiap lepas solat Asar, insya' Allah akan dikurniakan dengan rezeki yang banyak.
Selepas solat 'Isya', ambillah segelas air lalu bacalah Surah Al-Fatihah sekali, Ayatul Qursi sekali dan Surah Al-Waqi'ah ayat 35-38 sebanyak 7 kali. Tiup dalam air dan minum. Dalam hati, niat untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan rumahtangga.
Makna Surah Al-Waqi'ah Ayat 35-38 ialah :
"Sesungguhnya, Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa. Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya serta yang sebaya dengan umurnya."
5. SURAH AL-KAUTSAR
Sesiapa yang mengamalkan membaca surah ini sebanyak 1,000 kali, maka Allah s.w.t. akan menghasilkan hajatnya termasuk rezeki dan kenaikan pangkat. Sesiapa yang membaca 1,000 kali juga selepas solat 'Isya' hingga dia tertidur, insya' Allah dia dapat melihat Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam dalam tidurnya.
6. SURAH AL-KAAFIRUUN
Sesiapa yang membaca Surah Al-Kaafiruun, maka bandingannya seperti membaca seperempat Al-Qur'an, disamping terlepas dari syirik, terjauh dari godaan syaitan dan terlepas dari peristiwa yang mengejutkan (Riwayat At-Tarmizi).
Sebelum tidur, bacalah surah ini agar kita mati dalam iman serta membersihkan kotoran dalam diri kita.
7. SURAH AL-MULK
Sebuah lagi Surah dari Al-Qur'an iaitu Surah Al-Mulk mempunyai fadhilat dan faedah yang amat besar bagi sesiapa yang mengamalkan membacanya. Menurut beberapa hadis Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam, mereka yang mengamalkan membaca akan surah ini, akan mendapat syafaat dan keampunan dosa-dosanya. Mereka yang membacanya pada setiap malam, insya' Allah, akan terselamat dari azab kubur.
8. SURAH AL-IKHLAS
Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda kepada isteri kesayangan baginda, Siti 'Aisyah, antara mafhumnya :
"Wahai 'Aisyah isteriku, sebelum kamu tidur, khatamlah dulu Al-Qur'an."
Siti 'Aisyah lalu berkata, "Wahai suami ku, saya tidak mampu khatam Al-Qur'an sebanyak 30 juzuk itu."
Apabila mendengar kata-kata Siti 'Aisyah tersebut, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam sambil tersenyum lalu menjawab, "Barangsiapa yang membaca 3 kali sebelum tidur, seolah-olah ia telah khatam Al-Qur'an keseluruhannya."
Dari Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a.,
"Sesiapa hendak pergi musafir, kemudian ketika dia hendak meninggalkan rumahnya, ia membaca surah Al-Ikhlas 11 kali, maka Allah memelihara rumahnya sampai ia kembali."
Ibnu Said Al-Khanafi menerangkan :
"Surah ini dinamakan Surah Al-Ikhlas, ertinya bersih atau lepas. Maka barangsiapa yang membacanya dan mengamalkannya dengan hati yang ikhlas, maka ia akan dilepaskan kesusahan duniawi, dimudahkan di dalam gelombang sakaratulmaut, dihindarkan dari kegelapan kubur dan kengerian hari kiamat."
9. SURAH AL-FALAQ
Siti 'Aisyah menerangkan:
"Bahawa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pada setiap malam apabila hendak tidur, Baginda membaca Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas lalu ditiupkan pada kedua telapak tangan, kemudian disapukan keseluruh tubuh dan kepala. Barangsiapa terkena penyakit kerana perbuatan syaitan atau manusia, hendaklah membaca Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 41 kali selama 3 hari, 5 hari atau 7 hari berturut-turut. Barang siapa yang takut akan godaan syaitan dan manusia, takut dalam kegelapan malam atau takut dengan kejahatan manusia, bacalah Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebanyak 100 kali."
10. SURAH AN-NAS
Surah An-Nas adalah surah yang terakhir (ke-114) dalam Al-Qur'an. Nama An-Nas diambil dari kata An-Nas yang berulang kali disebut dalam surah ini yang bermaksud manusia. Surah ini termasuk dalam golongan surah makkiyah. Isi surah ini adalah bagi menganjurkan manusia memohon perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan baik yang berasal dari golongan manusia mahu pun jin. Surah An-Nas ini juga adalah penerang hati.
Aku sekadar menulis untuk manafaat serta peringatan bagi diri aku dan kawan-kawan semua. Aku memohon ampun ke hadrat ALLAH swt serta kawan-kawan semua diatas kekurangan serta kelalaian diriku yang kadang-kadang aku sendiri gagal untuk mengamalkan sebahagian dari apa yang aku tulis ini setiap hari oleh kerana terlalu sibuk dengan urusan duniawi serta kelemahan yang ada pada diri aku sendiri.
Wallahhuaqlam.
Thursday, August 26, 2010
Hutang dan Kematian
"Tidak ada gunanya mempunyai ayah menjadi kepala negara, bajunya tampal seribu," kata teman-teman anak Umar.
Kerana sudah tidak tahan dengan ejekan teman-temannya, anak Umar itu pun mengadu kepada ayahnya. Khalifah Umar sangat kasihan kepada anaknya yang mengadu itu, tapi beliau tidak dapat berbuat apa-apa. Maklumlah beliau tidak mempunyai simpanan apa-apa, sedang gajinya sebagai kepala negara hanya 1 dirham saja sehari dan ketika itu belum sampai masa gajian. Umar pergi ke Baitul Mal untuk meminjam sedikit wang dan berjanji akan membayarnya pada bulan depan apabila sudah menerima gaji.
"Bukan saya tidak mahu mengeluarkan wang Baitul Mal, tapi apakah Amirul Mukminin sudah yakin masih akan hidup sehingga bulan depan? Dan jika Amirul Mukminin mati sebelum sampai masa gajian yang akan datang, siapa yang akan membayarnya? kata petugas Baitul Mal.
Mendengar itu, menangislah Khalifah Umar bin Khattab sehingga air matanya menetes membasahi pipinya. Beliau tidak jadi untuk meminjam wang dan pulang dengan perasaan sedih sambil mengenang kematian.
Tuesday, August 24, 2010
Pinjaman kepada ALLAH
Fatimah menjawab: "Demi Allah, saya tidak mempunyai makanan sedikit pun. Tetapi ini ada enam dirham yang saya terima daripada Salman sebagai upah memintal. Saya mahu belikan makanan untuk Hassan dan Husain." Ali berkata: "Biar saya sahaja yang pergi membeli makanan."
Fatimah segera menyerahkan enam dirham itu kepada suaminya. Ali keluar lagi bagi membeli makanan. Di tengah jalan, Ali bertemu seorang lelaki yang berkata: "Siapa yang mahu memberikan pinjaman kepada Tuhan yang maha pengasih dan selalu menepati janji?"
Tanpa berfikir panjang, Ali menyerahkan semua wangnya sebanyak enam dirham. Lalu dia pulang dengan tangan kosong. Fatimah, yang melihat suaminya pulang tanpa membawa makanan, menangis. Ali pun bertanya: "Wahai Fatimah mengapa kamu menangis?"
"Wahai suamiku, kamu pulang tanpa membawa apa-apa," kata Fatimah. Ali menjawab: "Aku meminjamkan wang itu kepada Allah."
Fatimah berkata: "Sekiranya begitu, saya menyokong tindakanmu." Ali kemudian keluar rumah lagi dan berniat hendak menemui Nabi s.a.w. Di tengah jalan seorang Arab Badwi yang sedang menuntun seekor unta menghampirinya, dan berkata: "Wahai Aba-al Hassan, belilah unta ini."
Ali berkata: "Saya tidak mempunyai wang." "Kamu boleh membayarnya pada bila-bila masa," kata Badwi itu. "Berapa harganya?" tanya Ali. "Tidak mahal, 100 dirham sahaja."
"Baiklah, saya beli," kata Ali yang kemudian meneruskan perjalanannya menuntun unta. Baru beberapa langkah Ali berjalan, seorang Badwi lain menghampirinya dan bertanya: "Hai Abu Hassan, adakah kamu hendak menjual unta ini?" "Ya," jawab Ali.
"Berapa?" Tanya Badwi itu. "300 dirham," jawab Ali.
"Baiklah saya beli," kata Badwi itu dan terus memberikan wang RM300 dirham kepada Ali.
Ali segera pulang ke rumah kerana hendak menceritakan peristiwa itu kepada Fatimah. Setibanya di rumah, Fatimah bertanya: "Apa yang kamu bawa itu wahai Abu Hassan?" "Wahai Fatimah, saya membeli seekor unta dengan harga 100 dirham, kemudian saya menjualnya dengan harga RM300 dirham," jawab Ali.
Seterusnya Ali pergi menemui Nabi s.a.w. di masjid. Melihat Ali sampai di masjid, Nabi tersenyum dan berkata: "Wahai Abu Hassan, adakah kamu mahu bercerita ataupun biarkan saya sahaja yang bercerita?"
"Kamu sahaja yang bercerita, wahai Rasulullah," kata Ali. "Hai Abu Hassan, tahukah kamu siapa orang Badwi yang menjual unta dan Badwi yang membeli unta daripada kamu tadi?" Ali menggeleng: "Tidak, Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu."
Nabi menjelaskan: "Berbahagialah kamu. Kamu meminjamkan enam dirham kepada Allah. Allah memberikan kembali kepadamu 300 dirham. Setiap satu dirham mendapat ganti 50 dirham. Orang Badwi yang pertama menemuimu itu adalah malaikat Jibrail dan yang kedua adalah malaikat Mikail."
Sama-samalah kita hayati kisah ini dengan penuh keinsafan …… mudah-mudahan dianugerahkan kepada kita semua sifat suka bersedekah ……Sesungguhnya tidak akan berkurang walau sedikit pun harta seseorang itu jika ianya bersedekah kerana ALLAH.
Friday, August 20, 2010
Muhasabah Diri
Terdapat hadith yang maksudnya hampir sama:
لما كان يوم خيبر اقبل نفر من اصحاب النبى صلى عليه وسلم فقالوا: فلان شهيد وفلان شهيد حتى مروا على رجل فقالوا فلان شهيد . فقال النبى صلى عليه وسلم :كلا انى رايته فى النار فى بردة غلها او عباءة --مسلم
Tatkala di dalam Peperangan Khaibar beberapa orang sahabat telah mengadap Rasulullah Sallahu 'Alaihi wasallam dan mereka berkata: "fulan telah syahid, dan sifulan telah syahid", sehingga sampai kepada seorang lelaki. Maka sahabat-sahabat tersebut mengatakan : Sifulan ini (juga) telah syahid". Lalu Nabi Sallahu 'Alaihi wasallam mengatakan: "tidak sekali-kali, sesungguhnya aku telah melihat dia di dalam neraka memakai selendang atau baju luar yang diambilnya secara khianat"
1-Bagi hadith yang pertama disebut di dalam syarahnya yang Kirkirah adalah seorang hamba berbangsa Nuba (Afrika), dia berkhidmat menuntun haiwan kenderaan Rasulullah ketika perang. Selepas kematiannya, Rasulullah mengatakan yang Kirkirah berada di dalam neraka. Hal ini sangat mengejutkan para sahabat, lalu mereka telah pergi menyiasat untuk mengetahui kenapa Rasulullah bersabda sedemikian. Mereka dapati kesalahan Kirkirah hanyalah beliau telah mengambil sepasang pakaian luar (outer garment) dari harta rampasan perang secara senyap-senyap sebelum ianya diagih secara sah oleh Rasulullah . Perbuatan khianat itu walaupun tidaklah melibatkan nilai yang banyak telah menyebabkan Kirkirah disabdakan oleh Rasulullah sebagai penghuni neraka.
Di dalam syarah hadith ini dikatakan Kirkirah diseksa di neraka setimpal dengan perbuatan khianatnya ini, atau dia disiksa sekiranya kesalahannya itu tidak diampuni oleh Allah.
Perbuatan mengambil harta secara khianat (iaitu yang bukan secara sah dari segi syara') dikira daripada perbuatan dosa-dosa besar. Lihatlah bagaimana Rasulullah yang sangat mengasihani ummahnya telah membuat kenyataan yang keras dan tegas tentang akibat buruk perbuatan mengambil harta secara khianat, sedang yang diambil hanyalah sepasang pakaian luar, apa lagi diambil oleh seorang yang tidak berharta dan berstatus rendah dalam masyarakat. (Terdapat perbezaan pandangan semada Kirkirah dimerdekakan atau mati sebagai seorang hamba).
Bagaimana pula kita mahu menilai diri kita pada hari ini? Kita telah membenarkan pengkhianatan dalam pemilikan harta dibuat oleh diri kita, anak-beranak kita, kaum kerabat kita, sahabat handai serta penyokong kita, sedangkan yang dikhianati bukan sekadar sehelai pakaian luar, sedangkan kita tidak sedaif Kirkirah. Kita telah berselindung di sebalik peraturan dan procedures sedangkan kita tahu perbuatan kita itu tidak menepati piawaian yang diajar oleh Rasulullah.
Kita merasa diri kita terpelajar, diri kita berilmu, punya akhlak dan pekerti bangsawan, berkedudukan dalam masyarakat. Kita juga tidak semiskin Kirkirah dan yang kita mahukan kekayaan di atas kekayaan yang sudah dimiliki. Kita sudah memiliki kenderaan, tetapi sekadar mahu yang lebih baik. Kita sudah ada tempat kediaman tetapi sekadar mahukan yang lebih besar. Sedangkan Kirkirah, sebagaimana sahabat yang pergi menyiasat selepas kematiannya dapat mengesan kewujudan sehelai pakaian luar yang dimabilnya daripada rampasan perang; menunjukkan yang dia tidak mempunyai banyak pakaian. Sekiranya dia punya banyak pakaian sudah tentu terlalu sukar untuk diketahui asal-usul setiap helai pakaiannya.
Yang lebih buruk dan jijiknya ialah apabila kita masih menganggap yang kita adalah pejuang Islam, kita dakwa kita bertindak di atas nama Islam. Sekiranya Rasulullah menilai kita sebagaimana baginda menilai Kirkirah, agaknya di manakah kita dalam penilaian Rasulullah?
2- Di dalam hadith yang kedua disebutkan peristiwa ini berlaku selepas usainya peperangan Khaibar, para sahabat membilang nama-nama mereka yang telah gugur satu persatu di depan Rasulullah. Atau mungkin mereka menemui mayat mereka yang gugur, satu demi satu dan mereka menyebut bagi setiap jenazah itu yang mereka telah syahid sehingga para sahabat ini menyebut nama salah seorang yang telah gugur dalam Peperangan Khaibar itu. Rasulullah dengan tegasnya mengatakan orang itu adalah penghuni neraka kerana dia telah mengambil sehelai pakaian untuk dimiliki ketika pertempuran sedang berlaku sebelum menyerahnya sebagai harta rampasan perang untuk dibahagi-bahagikan secara sah. Rasulullah melarang para sahabat tersebut dari menyebut simati yang itu sebagai syahid, suatu darajat yang sangat mulia di dalam syara, dijanjikan kenikmatan syurga , dilepaskan daripada kesakitan menjelang kematian dan selepasnya.
Janganlah kita ambil mudah untuk beranggapan yang kita dari segi agamanya sudah selamat kerana bergabung dalam perjuangan Islam, sedangkan perjuangan itu sendiripun belum tentu menepati perjuangan Rasulullah ataupun tidak. Sekiranya pada perkiraan kita ianya menepati perjuangan yang diredai Allah dan Rasul-Nya, maka di mana pula kedudukan kita, walaupun kita mendabik dada mengaku pejuang Islam? Dimanapula pemimpin-pemimpin kita yang kita ingin bertumpang naungan ilmu dan amal mereka? Adalah sesuatu perbuatan yang menunjukkan kesedaran keinsafan tentang diri, beradab lagi berakhlaq untuk kita tidak mencari-cari dalih mempersamakan tindakan kita yang secara zahirpun jelas berkepentingan dunia dengan akhlaq Rasulullah yang merupakan penzahiran isi kandungan a-Quran yang mulia itu.
Membaca kisah-kisah sebegini, menyelusuri beratnya amaran Rasulullah seumpama ini menyebabkan terasa rendahnya langit seakan menimpa kepala, terasa sempitnya bumi seakan menghempit dada, bagaimanakah kita dapat selamat?. Ya Allah,, hanya Rahmat-Mu, Kasihan Belas -Mu, keampunan-Mu yang dapat menyelamatkan kami. Tiada daya dan tiada upaya kecuali Daya dan Upaya Engkau Ya Allah!
Tuesday, August 17, 2010
Ramadhan & Badar Al-Kubra
Semoga semua sahabat2 berada dalam rahmat dan nikmat Allah SAW jua hendaknya.
Ramadhan semakin menghabiskan fasa pertamanya,hanya tinggal beberapa hari lagi fasa yang dikatakan 1/3 yang penuh kerahmatan akan berlalu.Sedar tak sedar dah masuk 7 hari kita dah sama-sama menjalani ibadah puasa ini,kini fasa kedua yang penuh dengan pengampunan akan muncul tak beberapa hari lagi, dimana kita agaknya..???
Harapannya semoga semua kita dapat menjalani latihan ini dengan penuh kesedaran dan kemampuan yang ada...terasa benar ruginya sekiranya Ramadhan yang datang ini berlalu begitu sahaja….
Sesungguhnya seperti yang kita sama-sama maklumi, Ramadhan adalah bulan yang sangat-sangat dinantikan oleh semua kaum muslimin dan muslimat...harapannya moga kita semua turut berada dan bersama dengan Muslimin dan Muslimat yang lain jua hendaknya…….
Sabda baginda Rasul SAW;
"Apabila telah tibanya Ramadhan, telah terbuka pintu-pintu syurga dan tertutupnya pintu-pintu neraka, dan dibelenggu segala syaitan"[Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Nasaie,Ahmad dan Baihaqi].
Antara peristiwa penting yang dapat sama-sama kita ambil iktibar dari fasa kedua ini ialah berlakunya Ghazwah Badar Al-Kubra…
Peristiwa Badar Kubra ini telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke2 Hijrah, iaitu pada hari Jumaat. Sesunguhnya, Badar merupakan bukti kekuasaan Allah S.W.T.Apa tidaknya, masakan tentera seramai 313 orang mampu mengalahkan pihak lawan seramai 1000 orang? Namun Badar membuktikannya. Sungguh. Golongan yang sedikit mampu untuk mengalahkan golongan yang ramai atas kehendak Allah S.W.T. Peristiwa Badar ini kebanyakannya telah dinukilkan di dalam kitab Al Quran di dalam surah Al-Anfal.
Firman Allah:" (Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu [dengan firmanNya], sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu [bala tentera] dari Malaikat yang datang berturut-turut".(Surah Al-Anfal:9)
Mengapakah Allah menurunkan bantuanNya pada tentera yang sedikit itu?
Kerana, kuantiti mereka kecil, namun kualiti mereka besar.
Siapakah yang sanggup untuk berlari di tengah panas pada bulan puasa? Siapakah yang sanggup untuk berjemur di tengah panas pada bulan puasa?
Begitu juga keadaan para sahabat pada ketika itu. Pada ketika itu, mereka sedang menghadapi dua perjuangan yang besar. Perjuangan menentang golongan kuffar dan perjuangan menentang hawa nafsu. Hanya mereka yang benar-benar dan berkualiti imannya mampu meneruskan jihad ini. Biar kecil kuantiti, asalkan besar kualiti.
Badar mengajar kita betapa pentingnya sikap kebergantungan seorang hamba kepada Tuhannya melalui kisah baginda Rasul.
Doa baginda: " Ya Allah, penuhilah kepadaku apa yang Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon akan sumpah janjiMU",
Doa baginda lagi: "Ya Allah, andaikata pasukan ini tewas pada hari ini, nescaya Engkau tidak akan disembah orang, Ya Allah, kalau begitu yang Engkau mahu, maka tiada orang yang akan menyembahMu selama-lamanya".
Kepasrahan baginda Rasul begitu memuncak. Baginda merayu dengan begitu pasrah sehingga tidak menyedari kain selendangnya jatuh dari bahu baginda sehinggalah di angkat oleh Saidina Abu Bakar.
Allah kemudiannya mewahyukan kepada malaikatNya:
'"(ingatlah) ketika Tuhanmu mewahyukan kepada Malaikat: sesungguhnya, Aku menyertai kamu(memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati-hati orang kafir dengan perasaan gerun, oleh itu, pancunglah leher mereka(musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka".(Surah Al-Anfal:12)
Dan turunlah bantuan Allah kepada hambaNya yang beriman dan bergantung harap padaNya. Bukan mudah usaha Nabi dan para sahabat dalam mengembangkan agama Islam pada ketika itu. Oleh itu, hargailah sahabat-sahabat sekalian Agama Islam yang sedang kita anuti sekarang ini.
Jikalau dulu, martabat wanita direndah dan dipijak. Datangnya Islam membawa cahaya. Maruah para wanita diangkat dan dimuliakan. Perintah menutup aurat menjadi satu kesempurnaan agar wanita terhindar dari pandangan-pandangan liar. Maka, janganlah para wanita pada hari ini seolah-olah menafikan hak-hak tersebut.
Badar mengajar erti pengorbanan.
Badar mengajar erti perjuangan.
Badar mengajar erti kehambaan.
Badar mengajar erti ketaatan.
Teringat saya sebuah nasyid yang didendangkan oleh kumpulan Mestica, Badar 313.
Khas untuk sahabat-sahabat yang sedang berjuang. Ingatlah, kuantiti yang sedikit bukan ukuran, kualiti jua yang menjadi pilihan. Wallahu'alam.
tak kan berundur
walaupun selangkah
biarlah berkubur
tak kan menyerah
begitu mujahadah
begitu terserlah
biarlah basah
bumi yang bertuah
rentak dan tarian
telah diperturunkan
hanya yang beriman
terus ke depan
dan demi masa
dan demi agama
dan demi bangsa
harganya nyawa
perkasalah
tersedarlah
semua yang ditidurkan
pasti terserlah
mereka yang dinantikan
dan demi masa
demi agama
dan anak bangsa
harganya nyawa
perkasalah
tersedarlah
semua yang ditidurkan
pasti terserlah
mereka yang dinantikan
313 tentera Badar berjuang
313 tentera Badar menyerang
313 tentera Badar menerang
313 tentera Badar gemilang
Mari bersama meningkatkan kualiti diri di bulan Ramdhan yang penuh leberkatan ini. Semoga ianya menjadi madrasah tarbiyatun nafsi bagi semua. :)
Sumber Rujukan:
1) Badar, menyelusuri sirah perjuangan kekasih Allah,Azrul Azlan Iskandar Mirza.
2) Sirah Nabawiyah, Raheq Makhtum.
Wallahuallam…….
Semoga artikel dari penilis murabbi.net yang sedikit ana editkan ini memberi manfaat untuk kita semua..
AkhikumfilIslam…
Jamal bin Nasir
Tuesday, August 10, 2010
MARHABAN YA RAMADHAN
Tinggal sehari lagi….. angin Ramadhan dah pun terasa.. seronok tak terkata.. sana sini dah terdengar ucap selamat menyambut kedatangan RAMADHAN AL'MUBARAK.. kat masjid pun suasana dah berubah….. hati berdebar gembira..
KEPADA SEMUA SAHABAT.. AMPUN DAN MAAF DIMINTA.. SUPAYA JIWA KITA LEBIH TENANG KALA MENJALANI IBADAH DIBULAN MULIA..
Semoga Ramadhan tahun ini menyuntik lebih banyak hidayah dan kita kekal mengamalkannya sesudah itu..Insya Allah….Aminn
“Tiada hari seindah Jumaat, Tiada kata seindah Zikir, Tiada Ibadah seindah Solat, Tiada Bulan seindah Ramadhan “…..maaf ats segala ketelanjuran….
Salam Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa untuk semua..,,,,,
Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan
Oleh Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman
Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran
yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang
terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah
disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala
objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang
Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca
tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang
diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan
kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat
Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja
(bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa
yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani
secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan m
i num lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang
lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia
dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya
kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya :
"sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia
berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam
. Jelasnya, indivi d u yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat
keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah
dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah
waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah
1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan
melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan
oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini
satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya
adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat
malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika
waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar"
(Az-Zariyyat : 18)
4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih . Menurut dalil-dalil
yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala
solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah
solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam".
(Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir
selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya
untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka
adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.
5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang
maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia
adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang.
Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa
seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.
6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih . Ini
jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa.
Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu
berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang
disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah,
maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah .
Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat
utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah
untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran
redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith
riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan
niat". (Riwayat al-Bukhari)
8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan
alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan
niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam
sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya
di Ramadhan ini.
9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.
Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut
berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami'
as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah
kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren'
yang di c a dangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu
sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur,
tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan
lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari
itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah
sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)
11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat . Ini
nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid,
malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan
dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat
mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat
lelaki ketika di masjid.
12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka . Ini satu
lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah
menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang
adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" (
Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka
berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau
hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no
1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Wallahuallam…
Semoga beroleh Kerahmatan diawalnya, Keampunan dipertengahannya dan pembebasan dari Api Neraka diakhirnya……
Akhifillah..
Jamal Nasir
Thursday, August 5, 2010
Penyakit 'TB'
Dah lama tak menulis (lebih kurang 1 minggu dah kot), tak tau pulak tiba-tiba dapat idea nak tulis tentang Penyakit TB ni lepas tegok cerita DO RE ME semalam dengan bini aku…………………. Hangpa pakat-pakat laaa komen sorang sikit nak bagi blog ni tambah meriah………… tak lama lagi dah nak posa……..
Penyakit TB (Takut Bini) merupakan satu fenomena di mana seorang laki yang takut pada bini dia. Perasaan takut pada bini timbul apabila bini dia memuncungkan bibir mulutnya sehingga 2-3 inci, atau perasaan takut kena belasah dek bini dia (mungkin sebab bini dia berbadan besar dari dirinya), atau takut kena tidur di luar ruang tamu, atau pun takut muka bininya akan bertukar kepada muka singa betina ataupun takut bininya merajuk.
Mana datangnya istilah takut bini ni, mengikut kajian aku pun tak tahu siapa yang mula-mula mencipta istilah ni. Aku rasa kita semua pernah tengok movie Tan Sri P.Ramlee cerita Do Re Mi.. masa scene gang ahli mesyuarat tingkap AR Tompel dan AK Jailani. AR Tompel menurut semua kehendak bininya hingga AK Jailani kata “takut bini rupanya…”
Cerita tu berterusan bila bini AK Jailani datang dan menarik telinganya pulak kerana hanya ‘over acting’……. Tak takut bini konon bila bersembang dengan AR Tompel.
Hari ni, aku juga dah berbini macam orang lain yang berbini. Jadi istilah takut bini ni masih ada cuma yang penakut pada bini ni dah tukar kepada sayang bini. Aku pelik juga kenapa orang takut pada bininya, kalau muka bininya macam muka hantu ada ler logiknya jugak
Contoh bila tengah lepak-lepak minum air tengok jam dah pukul 11.00 malam, kita nak blah jer kawan-kawan perli kita ‘takut bini marah la tu’ …
Contoh lagi, bila ada perempuan lain hantar SMS, cepat jer kita delete SMS tu walaupun SMS tu hanyalah SMS berkenaan hal kerja. Kenapa takut bila bini baca SMS tu? Awat dah jadi sampai macam tu haaaaa…….?
Aku tak takut bini, dan bini aku pun tak takut kat aku …..ha ha ha……. Buat apa ler nak takut kat dia, atau dia nak takut kat kita
Jadi bila aku sendiri tengok nasib kawan-kawan aku ni yang ‘teraniaya’ ni, aku pun berfikir. Lelaki yang takut bini ni salah satunya memang penakut dengan bininya, takut macam …………… macam apa eh? Alah memang takut bini lah…………… tak berani angkat muka punya depan bini…………. hahaha aku terfikir jugak camana dia orang dapat anak eh…………….. kena sergah jer terus lembik. Ni kalau ada jenis lelaki macam ni, memang memalukan kaum lelaki ler. Kalau terkantoi apa-apa sekalipun memang mati kutu lah……………... nampak macam ayam bodo.
Jenis yang lainnya, bukan takut pada bini tapi malas nak dengar orang tu membebel pot pet pot pet dan pot pet………………. sebab tu ler ada yang delete SMS perempuan, cover sana sini, terpaksalah duduk dalam rumah, kalau nak keluar kena mintak izin bini dulu…………
Laa ni memang dunia dah betoi-betoi terbalik………………………..