Setelah kembali dari menunaikan fardu subuh di masjid pagi tadi, aku dikejutkan dengan satu berita yang telah di terima melalui SMS dari sahabat kita Halim Pak Aji ........
Sahabat kita Mohd Azim Abdullah telah kembali ke Rahmatullah....... Al Fatihah.
Terasa sebak dan pilu bercampur baur, aku mula terkenangkan zaman persekolahan yang kami lalui bersama di SMDSO dulu.
Pada awal November 2009, aku telah mengambil keputusan untuk menziarahi Allahyarham di Semporna setelah mengetahui lokasi beliau bertugas. Dikhabarkan Allahyarham telah menjadi "Orang Besar di Samporna", tempat peranginan termahsyur di Sabah, berhampiran dengan Lahat Datu.
Aku mengambil penerbangan terakhir (jam 10.00 malam) dari Miri terus ke Kota Kinabalu memakan masa selama hampir 1 jam. Keesokan harinya, aku berlepas dengan penerbangan pertama dari Kota Kinabalu ke Tawau...aku sebenarnya tidaklah begitu biasa dengan bandar Tawau ini, tetapi setelah mendapat panduan ringkas dari Allahyarham serta berbekalkan azam yang amat kuat untuk bertemu beliau setelah 30 tahun tidak bertemu, aku akhirnya tiba di Tawau sekitar jam 10.00 pagi. Sebuah Proton Waja PDRM telah bersedia menjemput aku untuk terus dibawa ke Samporna. Sambil berbual-bual mesra dengan pemandu beliau, sempat juga kami berhenti untuk minum didalam perjalanan yang mengambil masa hampir 2 jam. Aku juga sempat membeli 'prepaid card' untuk digunakan semasa berada di Samporna nanti.
Semasa dalam perjalanan, Allahyarham telah menghubungi aku dan beliau menyatakan aku akan terus di bawa ke sebuah hotel di Bandar Samporna. Difahamkan beliau pada ketika itu sedang mempengerusikan mesyuarat di Ibu Pejabat PDRM Samporna.
Setelah check in, beliau sekali lagi menghubungi aku menyatakan yang aku akan dibawa makan tengahari pada jam 1. Setelah berehat dan menukar pakaian akhirnya aku menemui beliau di Lobby Hotel. Aku dapat melihat dari jauh beliau memandu 4WD nya, wajahnya tidak banyak berubah jika dibandingkan semasa waktu dizaman persekolahan SMDSO dulu......
Aku menegur beliau ketika melangkah masuk ke lobby hotel, belaiu sebenarnya tidak mengenali aku - kami terus bersalaman dan berpelukan, aku menatap wajahnya puas-puas, airmata ku tiba-tiba bercucuran tanpa dipaksa............ sukar untuk digambarkan detik ini, hanya aku dan Allahyarham saja yang dapat merasainya selain dari ALLAH yang Maha Esa. Beliau memberitahu aku yang beliau hampir tidak mengenali aku jika aku tidak menyapanya tadi. Kami terus ke sebuah restoran untuk menjamu selera. Aku masih ingat, kami berbual tanpa henti selama hampir 2 jam, beliau tidak lupa bertanya tentang BaE, Moha, Mat Wee, dan kawan-kawan yang lain.
Selepas menunaikan solat, kami terus ke pejabat Allahyarham. Beliau sebenarnya adalah KETUA POLIS SAMPORNA. Suasana di dalam pejabat beliau amat sibuk, sesekali aku tercuit hati juga apabila melighat gelagat beliau berkomunikasi dengan kakitangan bawahannya.
Di dalam hati kecilku, masih tertanya-tanya adakah orang yang berada bersamaku sekarang ini adalah Avtar Singh yang aku kenali dulu?????????
Sikap dan watak beliau jauh berbeza semasa di bangku sekolah. Dengan mengenakan "BUSH JACKET" PDRM - menyerlahkan lagi ketampanan tubuhnya yang sasa itu.
Aku dhantar balik ke hotel pada jam 5.30 petang, dan kami bertemu lagi untuk makan malam selepas solat Isyak. Allahyarham membawa keluarga beliau untuk meraikan kedatangan aku pada malam tersebut. Kami sama-sama makan daging rusa pada malam tersebut, aku terus terlena keletihan setelah tiba di hotel pada malam itu.
Keesokan pagi, aku didatangi oleh seorang pegawai polis berpangkat ASP. Beliau telah ditugaskan untuk membawa aku bersiar-siar di sekitar Bandar Samporna. Daripada pemerhatian yang aku buat, hampir semua penduduk Samporna mengenali "TUAN AZIM". ASP tersebut juga telah memberitahu aku yang TUAN AZIM amat disayangi oleh penduduk di bandar Samporna kerana beliau telah banyak menabur jasa disana. Boleh dikatakan keamanan yang di kecapi oleh penduduk di bandar ini adalah sebahagian besarnya datang dari kebijaksanaan beliau. Sebagai seorang sahabat, aku amat bangga dengan pencapaian yang diperolei beliau.
Pada hari ini (sebelah pagi) aku difahamkan Allahyarham sedang menghadiri mesyuarat di Lahat Datu, lebih kurang 100km dari bandar Samporna. Pada sebelah malam, aku dan Tuan Azim makan malam bersama dan kami asyik berbual-bual tentang masa lampau ketika di SMDSO dulu.
Hari ke 3 di Samporna, aku menaiki bot penumpang ke Pulau Sipadan, semuanya telah diuruskan oleh Tuan Azim. Aku bermalam di pulau tersebut sambil menikmati keindahan semulajadi ciptaan ALLAH SWT.
Sekembalinya dari Pulau Sipadan, (hari Jumaat) aku ters dibawa oleh Allahyarham ke rumah beliau di Lahat Datu, kami sekali lagi makan tengahari bersama dengan juadah yang dihidangkan oleh isteri beliau. Kami juga bersama-sama menunaikan sembahyang Jumaat, aku rasa itulah kali terakhir aku dapat bersembahyang berjemaah bersama Allahyarham. Selesai solat, aku sekali lagi dibawa ke Bandar Tawau untuk berlepas pulang ke Kota Kinabalu. Disepanjang perjalanan pulang ke Brunei aku masih lagi terkenangkan kebaikan yang telah diberikan oleh ALLAH kepada Allahyarham serta keluarganya sehingga hari ini. Selain menjadi ketua keluarga yang penyayang, beliau juga adalah seorang yang amat tegas semasa menjalankan tugas .............. semoga ALLAH mencucuru rahmatNYA keatas beliau, serta diberi kelapangan dan kesabaran yang sebesar-besarnya kepada keluarga Allahyarham. Aku percaya nama baik beliau akan sentiasa diingati oleh penduduk-penduduk di Bandar Samporna ...............
Akhir kalam, aku ingin memberi nasihat kepada diriku serta kawan-kawan yang lain. HARGAILAH MASA, dunia ini sebenarnya tidak lebih daripada tempat untuk kita bermain-main sementara menunggu kehidupan abadi kita di akhirat. Lapangkanlah sedikit masa untuk menziarahi serta bertanya khabar dengan kawan-kawan yang masih ada sesama kita. Kalau bertemu, salinglah berpesan dengan kebaikan, mana tahu itu adalah mungkin satu pertemuan yang terakhir diantara kita. Setuju ataupun tidak, kita semuanya sebenarnya telah berada dan telah begitu hampir di penghujung jalan. Sebahagian daripada kita telah mencapai apa yang dihajati di atas bumi ALLAH ini begitu jugalah sebaliknya. Oleh yang demikian, gunakanlah sisa-sisa masa yang ada ke jalan yang diredai Allah.
Wassalam.
Assalamu alaikum!
ReplyDeletesemoga RohNya dicucuri rahmat dari allah SWT jua hendaknya......
Well-narrated Asri.
ReplyDeleteMKM
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dihimpunkan dengan orang-orang yang soleh. Amin
Delete